Assalamualaikum.
Luvlyriena termangu sendirian sewaktu menulis coretan ini. Bukan mudah untuk menjadi tabah. Tidak senang juga untuk menjadi wanita yang hebat, yakni bukan sahaja menjadi yang terbaik di mata sendiri, haruslah baik juga di mata Ilahi.
Semua itu sememangnya mustahil untuk dimiliki dalam masa sesaat. Untuk mencapainya, haruslah melalui ribuan rintangan dan mengutip seribu satu pengalaman, tidak lupa juga jutaan pengajaran.
Apabila mengimbau kembali kenangan dan perisitiwa yang telah dilalui lebih 2 dekad ini, sememangnya begitu banyak coretan yang manis mahupun coretan yang pahit terlakar. Jutaan juga senyuman dan gelak ketawa yang dizahirkan. Lautan titisan air mata juga pernah dialirkan.
Namun, semua yang terlakar itulah yang menjadikan siapa diri kita hari ini. Semua itulah yang membina ketabahan dan kekuatan kita dari kosong ke jutaan, membina blok ketabahan dan kekuatan satu persatu sehingga terbinanya dinding yang begitu utuh.
Maka, berterima kasihlah kepada setiap cebisan pengalaman yang pernah dilalui. Yakinilah apa yang terjadi itu adalah yang terbaik buat diri.
Ujian dan dugaan yang hadir adakalanya begitu pahit untuk ditelan sehinggakan kita tertanya-tanya, mengapakah harus aku lalui semuanya, walhal aku tiada mampu menerimanya.
Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya…,”
Ya, setiap ujian yang datang itu adalah berdasarkan kekuatan kita. Malah hadirnya juga bukan sia-sia.
Seribu satu hikmah yang terlindung di sebaliknya, yang bakal memajukan kita ke hadapan selangkah demi selangkah andai kita mengambil pengajaran darinya.
Semoga kita semua terus tabah menghadapi liku-liku hidup yang bakal mendatang. Usahlah dirisaukan hari besok, pasti akan kita lalui juga. Lakukan yang terbaik, agar setiap saat yang berlalu tiada sia-sia.
Buat pembaca sekalian, SEMOGA HARI INI LEBIH BAIK DARI SEMALAM
No comments:
Post a Comment