Thursday, June 23

Renungkan Sejenak...

Bangkitku dari lena pagi ini seperti hari-hari yang berlalu. Masih diizinkan Ar Rahiim untukku menghirup secangkir kehidupan. Menghirup nikmat-nikmat Allah yang tak terhitung banyaknya menguji iman di hati adakah bersyukur atau alpa. Pintu hari dikuak dan sehari lagi kita mendekati saat kematian yang telah ditentukan itu. Peliknya, hati seakan-akan lupa hakikat itu dek kesibukan duniawi yang melalaikan kita dari mengingati suatu kematian yang pasti.
Mati seolah-olah “mati” dalam hidup kita. Saban hari orang bersengketa – tentang itu dan ini, berebut kuasa, mengecam dan mendabik dada. Harta, kuasa, nama dan populariti jadi hijab yang menghilangkan bayang-bayang mati yang mengikut kemana sahaja manusia pergi. Cinta dunia melenyapkan hakikat adanya sebuah kehidupan yang abadi.
Kita tidak tergamak, bermusuhan sesama saudara, sesama sahabat dan sesama Islam kalau kita kita ingatkan mati. Kita tidak akan berdendam, marah, memfitnah dan melakukan pelbagai penganiayaan jika sedar kita sendiri akan menghadap Allah yang mengetahui tentang kita segala dan semuanya. Baik, mulia, agung dan hebat sangatkah kita?
Wahai diriku dan saudara-saudariku, mari kita kenangkan saat berpisah yang pasti menjengah. Kenangkanlah saat yang dibimbangkan oleh orang-orang yang soleh itu. Hayati apa yang ditangisi oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA itu. Mereka mengikut jejak kekasih mereka Rasulullah SAW yang sentiasa mengingati mati. Itulah sumbu bagi pelita kehidupan mereka. Tanpa ingat mati, apalah guna hidup ini…
Hari ini, urut dadamu, pejamkan matamu… istirehat seketika dan katakan: “Wahai diri, aku akan mati”! Kemudian bukalah mata, dan sematkan di hati bahawa segala ujian hidup ini adalah kecil dan sedikit berbanding apa yang akan dihadapi nanti. InsyaAllah, akan lapanglah hati… dan mulut mampu tersenyum dengan segala cabaran yang mendatang. Masakan orang yang melihat singa berhampirannya masih merungut tentang seekor semut yang menggigit kakinya?


Begitulah diriku dan saudara-saudariku, keyakinan kepada kehidupan akhirat akan memberi kekuatan dalam menghadapi kehidupan di dunia. Kenangkanlah saat berpisah kerana…
Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Jika datangnya kita tidak diminta, maka perginya tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini?
Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:


“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”


Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.
Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang… untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.
Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi. Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:


“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”


Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza. Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti.
Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu. Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Ingatlah, kata-kata ini:


“In life, what sometimes appears to be the end is really a new begining.”



Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.

Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!
Amin.

No comments:

Post a Comment

Disable text

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...